Rabu, 16 Mei 2012

SELAMAT HARI GURU




Hari ini 16 Mei 2012 merupakan hari guru yang di rayakan di seluruh Malaysia. SMK. Kuala Nerang tidak terkecuali meraikan hari yang bermakna dalam profesion keguruan ini. Bermula seawal 7.30 pagi ialah acara perarakan guru  dari lobi sekolah ke Dewan Perdana. Tiupan gendang pribumi dan bunga manggar yang mengiringi menambah kemeriahan suasana.




Di dewan majlis mendengar perutusan Menteri Pelajaran dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.Seterusnya ikrar guru dan nyanyian lagu Guru Malaysia. Para pelajar juga menyampaikan hadiah kepada Pengetua dan Penolong Kanan serta guru-guru. Seterusnya acara memotong kek hari guru.

Perjalanan hari guru diteruskan lagi dengan acara sukaneka dan jamuan. Seterusnya acara persembahan pentas dan penyampaian hadiah serta cabutan bertuah.

Kepada semua guru  SMK. Kuala Nerang  renunglah peranan kita pada hari yang istimewa ini  Adakah kita telah  menjadi  mualim, murabbi, mudarris  dan muadib kerana  kerja kita  sebenarnya satu ibadah dan amal kebajikan yang berkekalan. Tranformkanlah diri kita agar kita dapat mentranformasikan Pendidikan Negara.

Khamis, 3 Mei 2012

KEM KECEMERLANGAN SPM DI BELANTARA ELIT

Minggu ini bermula 3.5.2012 hingga 5.5.2012, pelajar-pelajar SMK Kuala Nerang menghadiri kem mengulangkaji pelajaran yang di adakan di luar kawasan sekolah. Tujuannya supaya pelajar dapat belajar dalam suasana yang tenang di bawah rimbunan pepohon dan sejuk tiupan angin tasik. Namun hanya 130 orang sahaja yang merelakan diri untuk hadir. Tahniah kepada yang hadir dan Cikgu percaya mereka mempunyai kesedaran untuk bersedia sebelum Peperiksaan Pertengahan Tahun yang akan bermula minggu hadapan. Slot ulangkaji Bahasa Melayu diadakan pada malam Jumaat. Pelajar menampakkan kesungguhan mengulangkaji di bawah bimbingan Cikgu Khadijah, Cikgu Anita, Cikgu Nurfaezah, Cikgu Roshidi, Cikgu Zetty dan Cikgu Hasiah. Kepada semua, terima kasih daun keladi. Hanya Allah sahaja membalas keikhlasan dan  kesungguhan semua.



Rabu, 2 Mei 2012

HIKAYAT INDERAPUTERA

Ringkasan cerita
Mengisahkan seorang anak raja bernama Inderaputera yang mengembara sehingga berjumpa dengan Tasik Semendera Jin yang amat besar. Pasir di sekeliling tasik daripada emas urai dan batunya daripada permata yang sangat indah. Inderaputera berasa amat takjub. Semasa Inderaputera berjalan di tepi tasik, Inderaputera mendengar suara memberi nasihat agar dia berhati-hati sedangkan tiada manusia yang kelihatan. Inderaputera menuju ke sepohon pokok dan dilihatnya banyak mayat yang bergelimpangan. Suara itu datang daripada mayat-mayat. Mayat tersebut memberitahu Inderaputera bahawa ada raksaksa di tasik itu namun Inderaputera tidak berasa gentar. Kemudian keluarlah  raksaksa dari tasik. Inderaputera pura-pura tidur. Apabila raksaksa ingin menindih Inderaputera, Inderaputera bingkas bangun dan mencengkam rambut raksaksa. Raksaksa merayu agar Inderaputera melepaskannya dan sanggup memenuhi permintaan Inderaputera. Raksaksa telah memberikan batu geliga Mayan Bedi kepada Inderaputera. Batu geliga itu boleh digunakan untuk menghasilkan angin, ombak, kilat atau petir dengan cara menyeru nama raksasa itu.Inderaputera telah melepaskan rambut raksasa. Inderaputera menyatakan bahawa dia ingin pergi ke Berma Sakti. Raksaksa memberitahu di situ tempat seorang puteri yang cantik iaitu Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran dan dayang-dayangnya datang bersiram. Raksaksa berpesan agar  Inderaputera menyorokkan baju tuan puteri  semasa tuan puteri mandi. Inderaputera melakukan perkara yang disuruh oleh raksaksa. Tuan puteri merayu agar Inderaputera memulangkan bajunya. Inderaputera meminta tuan puteri bersumpah sebelum dia memulangkan baju tersebut.  Inderaputera meminta tuan puteri memberikan gemala hikmat yang ada di mahligai tuan puteri. Tuan puteri berjanji akan menyerahkannya dan meminta Inderaputera datang ke mahligainya. Istana tuan puteri dikawal rapi oleh seekor harimau, seekor badak, seekor naga, seekor geroda  dan seekor raksaksa yang terlalu hebat. Inderaputera berjaya mengatasi semua halangan itu dan berjaya sampai ke mahligai Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran. Seperti yang dijanjikan, tuan puteri telah memberikan batu gemala hikmat kepada Inderaputera.


NILAI
1.    Nilai keberanian

Contoh:
·      Indeputera berani menghadapi raksasa walaupun telah diberi amaran
          oleh mayat.

2.    Nilai kebijaksanaan

Contoh:
·      Inderaputera berpura-pura tidur semasa raksasa keluar dari tasik dan   mengambil peluang mencengkam rambut raksasa semasa raksasa ingin  menindihnya.

3.    Nilai menepati janji

Contoh:
·      Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran menepati janji dengan                           memberikan batu gemala hikmat kepada Inderaputera.